computer_onlineclass_1200_2

Pendidik wajar diutamakan dapat vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menyokong saranan guru perlu diutamakan untuk memperoleh vaksin COVID-19, selepas petugas barisan hadapan.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Huat Hock cadangan itu memberi perlindungan kepada warga guru, agar dapat meneruskan sesi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dengan segera.

“Ini akan membantu melindungi guru daripada jangkitan virus, sekali gus membolehkan mereka mengajar secara bersemuka dan sekolah terus dibuka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pengarah Eksekutif Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Henrietta Fore semalam mengesyorkan guru diutamakan untuk memperoleh vaksin COVID-19, selepas petugas barisan hadapan.

Menurut UNICEF, ketika kemuncak gelombang pertama pandemik itu pada akhir April lalu, penutupan sekolah telah menjejaskan pembelajaran hampir 90 peratus pelajar di seluruh dunia.

Ketika ini, menurut UNICEF, kelas masih tutup kepada hampir satu bagi setiap lima pelajar sekolah di seluruh dunia atau 320 juta kanak-kanak.

Selain itu, sesi pembelajaran secara dalam talian mempunyai banyak kelemahan seperti peranti dan gadet yang tidak mencukupi, kelemahan jaringan internet, masalah disiplin, dan kehadiran pelajar yang menyebabkan sesi PdPc ini terganggu.

“Langkah ini bagi memastikan murid sekolah tidak terus tercicir dan sesi persekolahan dapat dibuka semula,” kata kenyataan itu.

Huat Hock berkata, NUTP memohon pertimbangan khas Kementerian Kesihatan, agar memberikan keutamaan kepada warga pendidik untuk memperoleh vaksin COVID-19, demi meningkatkan sistem pendidikan Malaysia. BH Online 16 Disember 2021

Share this post